Laman Utama
Merapat Jurang Digital
Inisiatif
Berita
Aktiviti
e-Volunteer
Forum
Paparan Inisiatif Terpilih
Hubungi Kami
International Version

Bantuan Anda Amat di Hargai

Jika anda berpendapat bahawa usaha merapatkan jurang digital kita memerlukan bantuan dalam meningkatkan kesedaran, penyertaan yang lebih aktif dan usaha pendidikan yanag lebih giat; anda dijemput untuk membantu.

 
PID Tanjong Malim penggerak ICT untuk warga emas.

Pusat Internet Desa (PID) Tanjong Malim mula beroperasi pada 3 November 2003 dan sehingga kini telah melatih kira-kira 1200 orang penduduk tempatan dan penduduk sekitar dengan menjadikan warga emas, suri rumah, peniaga dan usahawan IKS, penjawat awam dan swasta serta belia sebagai golongan sasaran. Pelatih termuda di PID ini berumur dari 8 tahun hinggalah yang paling tua berusia 88 tahun telah menyertai kelas komputer dengan jayanya. Sambutan adalah sangat menggalakkan bermula daripada bulan pertama beroperasi sehingga kini.

Oleh kerana sambutan yang begitu baik, PID Tanjong Malim telah memenangi hadiah tempat ke dua bagi Anugerah Kecemerlangan ICT tahun 2004 di mana acara ini telah dihadiri oleh Perdana Menteri Malaysia di The Mines Exhibition Center pada 4 September 2004. Anugerah ini diberikan berdasar latihan penggunaan komputer dan Internet yang telah diberikan kepada komuniti tempatan. Purata penggunaan harian PID Tanjong Malim adalah sebanyak 40 orang sehari.

         PID ini diuruskan oleh Puan Zalia Hezlin binti Abolah Zawawi dan dibantu oleh Penolong Pengurus iaitu En Mohd Hafiz bin Mohd Mukri. Mereka dilantik untuk melakukan aktiviti promosi  dan melatih pengguna baru.

Terdapat satu Jawatankuasa Penyelaras PID yang mewakili setiap golongan komuniti seperti warga emas, wanita, belia, usahawan dan lain-lain. Mereka ini menjadi AJK secara sukarela. Tujuan dan peranan AJK Penyelaras ini adalah untuk mempromosi dan memantau aktiviti PID. Mereka akan bekerjasama dengan Penyelia PID dalam menjalankan aktiviti berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk dimanfaatkan oleh komuniti setempat. AJK Penyelaras PID Tanjong Malim di pengerusi oleh Penghulu Mukim Ulu Bernam iaitu En Abdul Barri bin Yusop.

PID Tanjong Malim sering dikunjungi oleh warga emas. Antara pengunjung tetap PID ini ialah Encik Amir Amar bin Abdullah. Beliau lahir pada tahun 1930 dan kini berusia 70 tahun. Beliau merupakan bekas anggota polis berpangkat Sarjan dan bekas guru  di MES Tanjong Malim. Beliau menyertai kelas komputer di PID Tanjong Malim pada tahun 2003 iaitu sewaktu awal pembukaan PID ini. Turut menyertai kelas yang dianjurkan PID ialah anak kembar beliau. Encik Amir tamat belajar pada tahun 2005 dan sehingga kini terus mengunjungi PID Tanjong Malim pada setiap minggu walaupun di rumah beliau sudah dilengkapi komputer dan Internet.

Antara aktiviti utama yang beliau lakukan ialah menghantar e-mel kepada saudara mara di India dan juga menggunakan perkhidmatan e-perbankan dan e-perniagaan. Beliau sering mengiklankan barangan terpakai yang ingin dijual dan kadangkala beliau juga membeli barangan yang diminati seperti alat ganti vespa yang sukar untuk didapati di pasaran Malaysia melalui Internet.

Selain Encik Amir, Pann Eva Jenny Jothi juga merupakan pengunjung dan pengguna aktif PID Tanjong Malim. Beliau dilahirkan pada 3 Mac 1921 dan merupakan bekas guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Methodist Tanjong Malim yang sebelum ini dikenali sebagai Methodist English School. Sebelum itu, beliau pernah berkhidmat sebagai Jururawat Tentera British di Singapura.

Setelah bersara dari bidang perguruan, beliau membuka sebuah taman asuhan kanak-kanak yang diberi nama Santa Maria Kindergarten di Tanjong Malim. Tadika tersebut dibuka sehingga tahun 1996 dan kemudiannya di tutup kerana Puan Eva mengalami masalah kesihatan.

Pada umur 83 tahun (iaitu pada tahun 2004), Puan Eva telah mendaftarkan diri sebagai pelajar kelas komputer di Pusat Internet Tanjong Malim. Setiap hari beliau akan berjalan kaki sejauh lebih kurang satu kilometer untuk ke PID ini. Kesungguhan beliau untuk mempelajari dan menguasai dunia ICT amat mengagumkan.

Beliau bermula dengan mempelajari asas penggunaan komputer seperti penggunaan tetikus dan papan kekunci. Setelah tamat pembelajaran tahap satu untuk warga emas, beliau meneruskan kelas untuk belajar penggunaan Internet. Puan Eva sangat berminat untuk mempelajari mengenai e-mel kerana cucu beliau berada di Ireland untuk menyambung pelajaran.

Beliau tamat belajar pada tahun 2005, namun masih terus mengunjungi PID untuk melayari Internet dan menghantar e-mel.

PID Tanjong Malim berharap lebih ramai pengguna terutama pengguna warga emas seperti Encik Amir dan Puan Eva untuk turut sama menjadikan ICT sebagai satu elemen penting di dalam kehidupan masa kini.