Pusat Internet Desa (PID) Labis merupakan salah satu inisiatif Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dalam usaha untuk merapatkan jurang digital di kalangan masyarakat Malaysia. Pelbagai bantuan dan kursus yang ditawarkan untuk pengguna PID seperti kursus asas komputer, bengkel pencarian kerja secara online, membantu pelajar mengisi borang melanjutkan pelajaran secara online, panduan untuk membuat resume dan tip-tip menghadiri temu duga.
Hasil dari kewujudan PID Labis, ramai komuniti di sini yang sudah celik IT. Peranan yang dimainkan PID Labis telah banyak membantu belia-belia di sini untuk mendapat pekerjaan dan menyambung pelajaran mereka.
Seorang dari pengguna PID Labis, Faridah binti Sulaiman, telah mengambil inisiatif untuk memperlengkapkan diri dengan asas komputer sebelum melanjutkan pelajaran ke IPT. Selepas tamat kursus komputer dengan jayanya, beliau telah melakukan permohonan ke IPTA secara online di PID Labis. Hasilnya beliau telah berjaya mendapatkan tempat ke matrikulasi dalam jurusan Sains . Semasa cuti semester, beliau sering berkunjung ke PID dan berkongsi cerita di mana beliau mengakui betapa perlunya asas komputer pada setiap individu pada masa kini. Beliau bersyukur dengan asas kemahiran ICT yang beliau pelajari di PID Labis telah memudahkan segala tugasan yang diberikan.
Begitu juga bagi Hazwan bin Ahmad dan Azlan Bin Zahari yang merupakan bekas pelajar Pusat Internet Desa Labis. Mereka telah dengan jayanya menamatkan kursus komputer selama sebulan setengah dan turut menghadiri bengkel membuat resume yang dianjurkan PID Labis. Dengan resume tersebut, mereka telah berjaya dipilih untuk menyertai PDRM. Hazwan kini beliau sedang bertugas di PJA, Ulu Kintar, Perak.
Ismaleya Ishak pula mengenali PID Labis melalui seorang rakan. Sebaik mengetahuinya, beliau terus mendaftar sebagai pelajar di PID Labis. Sementara menunggu keputusan SPM beliau mengisi masa lapang dengan menjalani kursus asas komputer yang dianjurkan di sini. Selepas menamatkan kursus, Ismaleya telah menghadiri bengkel pencarian kerja secara online dan turut mengisi borang SPA secara online di PID Labis. Pada awal tahun 2009, beliau telah mendapat tawaran kursus separa perubatan (jururawat) yang di pohon melalui laman web SPA. Mengambil keputusan untuk memilih jururawat sebagai kerjaya, beliau kini menjalani kursus jururawat di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia di Kuala Lumpur.
Bagi Hasbullah Bin Mahfod pula, PID Labis banyak membantu beliau untuk meraih kecemerlangan di dalam bidang yang di ceburi. Beliau yang kini sedang menjalani kursus di peringkat sijil di Institut Latihan Perindustrian Muar, telah berjaya menamatkan kursus asas komputer di PID Labis. Beliau juga telah mengesyorkan adiknya untuk turut sama menjalani kursus di PID.
PID Labis sentiasa memberi sokongan kepada mereka yang memerlukan khidmat berkaitan ICT. Tunjuk ajar dan informasi berguna akan diberikan agar setiap peluang yang ada dapat direbut oleh komuniti di sini. Diharapkan PID Labis akan terus menjadi pemangkin di dalam melahirkan masyarakat yang berilmu ICT.