Cik Maidah Binti Malin merupakan salah seorang pengusaha restoran di daerah Kota Belud. Mula menggunakan perkhidmatan di Pusat Internet Desa (PID) Kota Belud pada awal tahun 2005 sehingga kini. Pada awalnya, Cik Maidah hanya menggunakan perkhidmatan Internet untuk membaca akhbar secara online kerana ia dilihat lebih menjimatkan.
Setelah melibatkan diri dalam perusahaan restoran dan katering, beliau menggunakan perkhidmatan di PID untuk menyediakan brosur, menu, promosi, surat tender dan pelbagai perkhidmatan lain yang disediakan di sini. Cik Maidah juga turut mendapatkan khidmat nasihat dari Pengurus dan Penolong Pengurus sekiranya mengalami masalah berkaitan perkhidmatan yang disediakan di PID ini.
Cik Maidah meluangkan masa mengunjungi PID setiap hari atau 3 kali seminggu untuk mendapatkan maklumat terkini menerusi akhbar online. Namun kini, disebabkan kesibukan mengurus perniagaannya, beliau hanya datang ke PID seminggu sekali untuk mendapatkan berita terkini dan sebagainya. Selain itu, beliau juga menggunakan Internet untuk mencari dan mempelajari menu masakan baru untuk restorannya.
Wanita berumur 40tahun ini berpendapat, pengetahuan dalam bidang teknologi amat penting bagi segenap lapisan masyarakat. Walaupun hanya bertugas sebagai pengusaha restoran, pengetahuan dalam penggunaan komputer dan Internet amat penting kerana ia memudahkan kerja-kerja yang berkaitan.
Cik Maidah juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana menyediakan PID yang amat berguna kepada seluruh komuniti setempat. Menurut Cik Maidah lagi, perkhidmatan seumpama ini dapat membantu golongan berpendapatan rendah turut serta dalam perkembangan teknologi kini. Beliau juga berharap program seumpama ini disediakan di kawasan luar bandar yang masih belum ada perkhidmatan komputer dan Internet.
Seorang lagi pengguna PID Kota Belud adalah Cik Melati Bt Ibrahim. Beliau mula menggunakan PID pada tahun 2005 dan merupakan salah seorang peserta kursus yang dianjurkan oleh PID Kota Belud.
Pada awalnya, Cik Melati hanya menggunakan Internet dan perisian Microsoft Office Word untuk menyiapkan tugasan sekolahnya setelah tamat kursus. Beliau berusaha untuk mencari sebanyak mungkin ilmu pengetahuan untuk persediaan peperiksaannya pada ketika itu. Setiap kali mempunyai masa lapang, beliau akan menggunakannya untuk mengunjungi PID demi untuk menambah ilmu.
Selain menyiapkan kerja-kerja sekolah, beliau juga menggunakan kemudahan-kemudahan lain yang disediakan di Pusat ini seperti sembang maya, mendengar dan mencari lagu-lagu baru, mencetak dokumen dan juga mengimbas. Menurut Cik Melati, antara kebaikan menggunakan PID ialah dapat melayari Internet secara percuma setiap hari. Sebagai pelajar sekolah pada masa itu, wang saku hanyalah untuk perbelanjaan harian dan tidak mampu melayari Internet di pusat-pusat siber. Usaha sebegini dapat merapatkan lagi jurang digital antara penduduk bandar dan luar bandar.
Selepas tamat pendidikan tingkatan enam, beliau lebih kerap mengunjungi Pusat Internet Desa untuk mencari peluang melanjutkan pelajaran. Kini, Cik Melati yang berumur 21 tahun telah berjaya melanjutkan pelajarannya dalam bidang Environment Health di sebuah kolej kejururawatan.
Cik Melati amat berbangga dengan penubuhan PID kerana beliau sendiri dapat meningkatkan kemahiran diri dari buta IT ke celik IT. Beliau berterima kasih kepada PID kerana banyak membantu menyediakan perkhidmatan komputer dan Internet percuma serta tenaga kerja yang sentiasa sedia membantu. Kini, walaupun terikat dengan rutin harian sebagai pelajar, beliau tetap mengunjungi PID pada musim cuti kuliah. Beliau juga berharap agar semua penduduk Kota Belud memanfaatkan PID sebaik mungkin.