Dalam usaha untuk merapatkan jurang digital di antara komuniti setempat dengan penduduk di bandar-bandar besar, Pusat Internet Desa (PID) Yan menawarkan pelbagai kemudahan kepada orang ramai. Antaranya ialah kemudahan capaian Internet, faks, e-mel, e-services, kelas komputer serta bantuan rujukan teknikal berkaitan dengan perkakasan komputer.
Salah seorang pengguna PID Yan ialah Nur Amira Binti Abdullah. Beliau berumur 17 tahun dan merupakan salah seorang dari 1146 ahli PID lebih kurang setahun yang lalu. Beliau telah mengikuti kursus komputer di sini selama hampir dua bulan setengah dan tamat dengan jayanya.
Nur Amira amat tertarik dengan PID kerana beliau banyak memperoleh ilmu pengetahuan dan maklumat melalui Internet. Beliau juga menjadikan PID sebagai tempat untuk mengulang kaji pelajaran, menaip kerja sekolah, mencetak atau mengimbas imej-imej yang diperlukan.
Beliau berpendapat, galakan terhadap penggunaan PID perlu diperluaskan. Ini kerana tawaran kursus komputer di PID jauh amat murah berbanding di tempat lain. Kempen perlu di perhebatkan supaya lebih ramai orang tertarik untuk menyertainya. Bagi beliau, zaman teknologi yang serba canggih ini memerlukan seseorang itu celik IT agar tidak ketinggalan.
Pada tahun 2008, Kelab Usahawan Sosial Yan (KUSPID Yan) yang berfungsi dalam melahirkan usahawan-usahawan berdaya saing di era teknologi maklumat telah ditubuhkan. Penubuhan kelab ini diharap dapat memberi pendedahan perniagaan secara global kepada usahawan untuk memperkasakan diri dan berjaya. Ahli kelab juga dapat memanfaatkan rangkaian kerjasama Kelab Usahawan Sosial di 42 PID seluruh Malaysia bagi meningkatkan taraf sosial dan ekonomi mereka.
Penyataan tersebut disokong oleh Encik Rashidi Saad yang merupakan bendahari Kelab Usahawan Sosial PID Yan. Beliau yang berumur 52 tahun itu merupakan seorang usahawan ternakan ikan keli dan begitu aktif di dalam PID. Beliau pernah dijemput sebagai tenaga pengajar semasa Kursus E-Services Fasa 3 yang diadakan pada bulan Jun lalu di PID Yan.
Produk hasilan beliau seperti ikan keli masin berempah dan nuget ikan keli mendapat sambutan yang amat menggalakkan setiap kali jualan diadakan di bawah kelab KUSPID Yan. Perkongsian mengenai ilmu perniagaan juga boleh didapati di PID. Pelbagai pengalaman boleh didapati ketika mesyuarat KUSPID Yan diadakan. Di situ, perbincangan sesama ahli turut membantu menaikkan lagi mutu produk selain dapat berkongsi idea.
Beliau berharap agar PID dapat meluaskan peranannya dalam membantu komuniti dengan mengadakan lebih banyak bengkel ICT pada masa akan datang. Peranan PID harus disebar luaskan agar ia menjadi inspirasi bagi orang lain memajukan diri. Beliau berkata, belia hari ini harus mengejar peluang dengan menggunakan secara optimum segala kemudahan yang terdapat di PID.
Puan Rohana binti Yaakob pula merupakan seorang suri rumah sepenuh masa dan sering menggunakan PID Yan untuk urusan perniagaan kecil-kecilan yang beliau jalankan. Beliau yang berumur 26 tahun itu sentiasa ditemani oleh anak beliau ketika menggunakan perkhidmatan di PID.
Beliau merupakan seorang pelajar yang mengambil kursus Microsoft Office di PID Yan dan amat berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan. Beliau berpendapat bahawa pengetahuan mengenai bidang teknologi maklumat ini harus dikongsi bersama agar semua masyarakat di sini dapat menikmati segala peluang yang ada di PID.
Dengan mendaftar kursus komputer di PID, selain murah, banyak ilmu yang diperoleh terutama cara-cara penggunaan sesuatu aplikasi itu dengan lebih lanjut. Bukan sekadar menaip surat, malah dengan adanya Internet, beliau kini sudah mula menggunakan e-mel untuk berinteraksi dengan rakan-rakan. Beliau berpendapat banyak lagi ilmu yang perlu dicari memandangkan teknologi maklumat kini menjadi satu keperluan untuk memudahkan kita mencapai sesuatu yang kita inginkan. Cuma dengan hanya satu klik dan banyak maklumat berserta penerangan yang boleh di muat turun dan seterusnya meluaskan pengetahuan seseorang.
Oleh itu, beliau berharap agar peranan PID ini dapat disebar luaskan bukan hanya di Yan memandangkan ilmu yang boleh didapati adalah amat berguna. Promosi haruslah dijalankan melalui sekolah-sekolah agar lebih ramai pelajar mendapatkan perkhidmatan dan menjalani kursus di PID.
PID Yan yang terletak bersebelahan dengan Pejabat Pos Yan ini diharap dapat menjadi tempat untuk melahirkan modal insan yang mampu bersaing di dunia global satu hari nanti.